There was an error in this gadget

November 20, 2009

Gelombang H1N1 di musim tengkujuh

Gelombang H1N1 di musim tengkujuh
Oleh NADZIR AWANG AHMAD

MUSIM tengkujuh kini kembali. Amaran berjaga-jaga kemungkinan banjir telah diuar-uarkan di dalam media elektronik dan media cetak kepada penduduk terutamanya di negeri-negeri di utara dan Pantai Timur Semenanjung sejak beberapa hari lalu.

Pada masa yang sama Malaysia turut dijangka mengalami gelombang kedua H1N1.

Pada musim tengkujuh ini penularan virus H1N1 dijangka berlaku dengan lebih cepat kerana hujan yang berterusan memudahkan orang ramai terutama sekali kanak-kanak mendapat selesema yang dikhuatiri akan bercampur dengan virus H1N1 ini.

Statistik terkini yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 5 November 2009 , Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican seperti laporan Utusan Malaysia, menunjukkan angka kematian akibat wabak selesema **** di negara ini kekal 77 orang.

Tetapi dalam tempoh 25 hingga 31 Oktober lalu, seramai 255 pesakit baru yang mempunyai gejala 'ILI' dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 213 pesakit telah dibenarkan pulang.

Akhbar tersebut juga menyiarkan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang telah memaklumkan pengurangan jumlah kes H1N1 dengan begitu ketara iaitu daripada 400 hingga 500 kes sehari kepada 20 hingga 30 kes.

Meskipun keadaan di serata dunia termasuk Malaysia kelihatan stabil, namun Pengarah Besar Pertubuhan Kesihatan Sedunia ('WHO'), Margaret Chan telah memberi amaran bahawa virus Influenza A (H1N1) akan muncul kembali dengan serangan yang lebih kuat.

Beliau seterusnya berkata bahawa kadar kematian yang tidak menunjukkan 'trend' peningkatan yang mendadak tidak bermakna wabak ini akan terus berakhir.

Sehubungan itu, langkah Kementerian Kesihatan mewujudkan Pasukan Pemantau Wabak H1N1 yang akan diterajui oleh Bahagian Kawalan Penyakit seperti mana diumumkan oleh Menteri Kesihatan untuk memantau situasi setiap hari dan mengesan jangkitan penyakit itu merupakan satu langkah proaktif bagi mengawal penyebaran wabak H1N1 ini terutamanya di musim tengkujuh.

Rakyat harus bergerak seiringan bersama-sama kerajaan bagi mengawal wabak H1N1 agar tidak menjadi lebih serius dan menjadi ancaman kepada semua sehingga kerajaan perlu pula mengumumkan wabak ini sebagai "darurat kesihatan".

Tidak ada gunanya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sahaja yang dilihat bersungguh-sungguh menangani wabak ini.

Semua hospital diarah menyediakan cukup peralatan termasuk katil di Unit Rawatan Rapi ('ICU') dan memastikan agar rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat. Tetapi pada masa yang sama, orang ramai masih bersikap acuh tak acuh tentang wabak ini.

Harus diingat sekiranya orang ramai masih memandang remeh, kesannya boleh membawa maut sekiranya lambat mengesan dan memberi suntikan kepada mangsa (pesakit) H1N1.

Hebahan demi hebahan telah dibuat melalui media massa dan media elektronik untuk menyedarkan orang ramai berkaitan wabak ini dan langkah-langkah kawalan yang perlu diambil.

Namun jika diperhatikan di kawasan-kawasan yang mempunyai risiko terdedah kepada jangkitan seperti stesen-stesen bas, pusat membeli-belah, kenderaan-kenderaan awam dan majlis-majlis keramaian, orang ramai yang memakai topeng perlindungan amatlah kurang dan boleh dibilang dengan jari.

Kempen-kempen yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab dan media masih belum mampu menyemai kesedaran kepada majoriti rakyat.

Di sekolah pun amat kurang pelajar yang memakai topeng ketika ini berbanding dengan musim awal penularan wabak H1N1 dan laporan kematian tersiar di dada-dada akhbar saban hari.

Orang ramai masih bersikap tunggu dan lihat. Namun janganlah sampai "sudah tehantuk, baru terngadah".

Sepatutnya perlu ada usaha bersungguh-sungguh di kalangan orang ramai seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani penularan virus ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara Perlis.
Share Ke Facebook Anda :

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...