There was an error in this gadget

November 6, 2009

Keracunan

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan keracunan. Lazimnya, ia disebabkan pendedahan mangsa terhadap bahan beracun, menelan, menyuntik atau menyedut/menghidu bahan -bahan ini.

Langkah berjaga-jaga
Adalah penting bagi kita mengetahui bahawa tiadanya tanda amaran pada sesuatu bungkusan itu tidak bermakna produk itu selamat digunakan. Sekiranya seseorang itu sakit secara tiba-tiba tanpa apa-apa sebab, ia mungkin disebabkan oleh keracunan. Kadangkala gejala keracunan tidak timbul secara serta-merta. Walau bagaimanapun, anda perlu mendapatkan rawatan segera dan jangan biarkan sehingga munculnya gejala-gejala. Sekiranya mangsa dijumpai terbaring di kawasan yang tidak mempunyai aliran udara yang baik seperti dalam kereta, pemanas relau atau berdekatan api, kemungkinan besar mangsa telah tersedut racun.

Penyebab
• Ubat-ubatan.
• Pencuci detergen.
• Racun perosak.
• Cat (tertelan).
• Bahan kosmetik.
• Pendedahan kepada bahan toksik yang dikeluarkan oleh haiwan seperti labah-labah dan tapak sulaiman.
• Pengambilan dadah berlebihan (dengan sengaja atau tidak).
• Keracunan gas di tempat kerja.
• Keracunan makanan.


Gejala Keracunan
Gejala-gejala keracunan yang ditunjukkan berbeza-beza, antaranya:
• Bibir kebiru-biruan.
• Sakit di abdomen.
• Sakit dada.
• Selesema.
• Batuk.
• Kemurungan.
• Jantung berdebar.
• Tiada selera makan.
• Otot tersentak-sentak.
• Loya dan muntah.
• Sesak nafas.
• Ruam dan luka terbakar.
• Stupor ( Keadaan hampir tidak sedarkan diri ).
• Cirit-birit.
• Pening.
• Penglihatan berganda.
• Rasa mengantuk.
• Demam.
• Sakit kepala.
• Kerengsaan.
• Tidak dapat mengawal pundi kencing.
• Sawan.
• Nafas berbau aneh.
• Lemah badan.
• Mulut atau hidung kering dan kebas.
• Tidak sedarkan diri.


JANGAN.....
• Beri sebarang benda/ubat melalui mulut kepada mangsa.
• Cetuskan muntah melainkan anda diminta berbuat demikian oleh Pusat Racun Negara (PRN) (04-6570099) ataupun doktor. Racun yang kuat akan menyebabkan luka terbakar semasa ia melalui tekak dan turun ke perut. Begitu juga jika ia dipaksa keluar (muntah) ia akan mengakibatkan kecederaan yang sama.
• Cuba menawar racun tersebut dengan meminum jus lemon atau cuka atau bahan-bahan lain melainkan anda diarah oleh Pusat Racun Negara atau doktor.
• Gunakan antidot atau penawar yang tidak sesuai.
• Tunggu sehingga gejala muncul jika anda mengesyaki seseorang itu mengalami keracunan.

Pertolongan Cemas
Untuk racun yang ditelan
• Periksa saluran udara (salur pernafasan), pernafasan dan peredaran darah mangsa. Jika perlu berikan bantuan pernafasan dan CPR.
• Cuba pastikan mangsa betul-betul mengalami keracunan kerana kadangkala ia tidak begitu ketara. Sesetengah tanda yang boleh diperhatikan termasuk nafas berbau bahan kimia, luka terbakar di sekeliling mulut, sukar bernafas dan muntah atau badan mangsa berbau luar biasa. Jika boleh, kenal pastikan racun.
• Hubungi pusat kawalan racun yang berhampiran.
• Cetuskan muntah sekiranya diarahkan oleh pusat kawalan racun.
• Cara untuk mencetuskan muntah: berikan mangsa 1 sudu besar sirap Ipecac bersama 2 gelas air. Cara kedua ialah berikan mangsa minum campuran segelas air suam dengan 3 sudu teh garam atau 1 sudu mustard kering (serbuk biji sawi).
• Jika mangsa muntah, pastikan saluran udara mangsa tidak tersekat. Jika anda perlu membersih saluran udara mangsa, balutkan jari tangan anda dengan kain bersih sebelum mencuci mulut dan tekak mangsa.
• Awasi tanda-tanda penting pada mangsa seperti suhu badan, denyutan nadi, kadar pernafasan dan tekanan darah. Jika mangsa mula diserang sawan, jangan biarkannya tercedera dan berikan bantuan kecemasan.
• Tenteramkan mangsa dan pastikan ia berasa selesa sementara menunggu bantuan tiba. Jika racun tertumpah di atas baju mangsa, tanggalkan pakaiannya dan bersihkan bahagian yang terkena racun menggunakan air.

Jika terhidu racun..
• Hubungi bantuan kecemasan. Jangan cuba menyelamatkan mangsa tanpa memaklumkan kepada pihak-pihak yang berkenaan atau orang lain terlebih dahulu.
• Tarik nafas dalam-dalam beberapa kali, kemudian tahan nafas anda semasa masuk untuk menyelamatkan mangsa.
• Selamatkan mangsa daripada bahaya gas, wasap dan asap dengan membuka tingkap dan pintu untuk mengeluarkan wasap. Sementara itu, tekupkan kain basah pada hidung dan mulut anda semasa melakukannya.
• Jangan nyalakan mancis kerana sesetengah gas boleh menyebabkan kebakaran.
• Selepas menyelamatkan mangsa, periksa saluran udara, pernafasan dan peredaran darah mangsa. Jika perlu, berikan bantuan pernafasan dan CPR.
• Jika perlu, beri pertolongan cemas untuk merawat kecederaan terbakar pada kulit, kecederaan mata atau serangan sawan yang mungkin di alami mangsa.
• Jika mangsa muntah, pastikan saluran udaranya tidak tersekat.
• Dapatkan rawatan walaupun mangsa kelihatan sihat.

Pencegahan
• Berhati-hati terhadap racun di sekeliling rumah anda. Jauhi dan lindungi anak anda daripada bahan-bahan toksik yang beracun.
• Kenalilah segala tumbuh-tumbuhan yang ada di sekeliling rumah. Hapuskan mana-mana tumbuh-tumbuhan beracun.
• Laporkan segala pencemaran bahan toksik yang berlaku di tempat anda kepada Jabatan Alam Sekitar.
• Kebanyakan bahan bukan makanan adalah beracun jika diambil dalam dos yang terlalu banyak.
• Didik anak-anak anda akan bahaya bahan-bahan yang mengandungi racun. Labelkan semua racun.
• Simpan ubat di tempat yang tidak dapat dicapai oleh kanak-kanak.
• Jangan menyimpan bahan-bahan kimia di dalam bekas makanan walaupun dilabelkan.
Share Ke Facebook Anda :

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...