There was an error in this gadget

August 16, 2010

Rawatan Radiofrekuensi Sakit Cakera Diskogenik

Rawatan radiofrekuensi , Alhamdulillah! La hawla wala quwwata illa billlah!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pada pagi yang indah dan ceria ini marilah kita sama-sama mengucapkan syukur dan memuji Allah SWT kerana membangunkan kita daripada tidur yang lena serta syukur atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak serta memberikan kenikmatan kita menghirup udaranya dan banyak lagi nikmatNya sehingga kita tidak mampu menghitungnya.

Marilah kita berselawat buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pagi ini nak tulis sedikit tentang salah satu rawatan yang entah ke berapa jenis rawatan pernah dilakukan. Sesungguhnya kita tidak boleh berputus asa untuk mencari penawar kepada penyakit kita.

Kali ini namanya rawatan radiofrekuensi. Saya telah lama membaca tentang rawatan ini melalui internet di metro dan berita harian, namun tak terbuka pintu hati untuk menyiasat lebih lanjut, kerana beranggapan rawatan ini tidak sesuai dengan sakit tulang belakang saya yang telahpun digam pada L4, L5 dan S1. Namun pada 19hb Mac suami meminta saya membaca artikel "Derita sakit sendi kronik berakhir"- Berita Harian.

Saya baca tetapi masih beranggapan yang sama, namun bila dipaksa menelefon doktor Nizar ni dan dapat berbincang dengan beliau, akhirnya dapatlah gambaran sebenar apa yang perlu dibuat bagi mengatasi masalah sakit ini. Akhirnya temujanji ditetapkan. Alhamdulillah tidaklah ambil masa yang lama.

Selepas bertemu dengan dr Nizar dan diperiksa, beliau mengatakan bahawa sakit saya lebih kepada sendi pinggul. Kedua-dua belahnya sakit. Bagitu juga pada bahagian tengah pinggang. Menurutnya ini adalah disebabkan daripada kesan sampingan pembedahan. Sepatutnya tidak perlu dibedah semasa saya dapat slipped disc dahulu. Nak buat apa lagi segalanyadah berlaku. Rawatan radiofrekuensi ini boleh hilangkan sakit insyaAllah. Dia akan tumpukan yang sendi pinggul dahulu kemudian barulah yang di bahagian tengah belakang pula.

Rawatan mengambil masa 2 jam kerana ada empat tempat yang perlu dibereskan. Sambil menjalankan rawatan boleh berbual. Sesekali sahaja terasa sakit apabila dicucuk ubat bius. Kaki tidak tersa kebas, tidak seperti semasa saya dibius ketika buat epidural bulan april 2008 dahulu, langsung tak rasa ada kaki tetapi ketika dicucuk ubat menggigil kesakitan.

Saya teringat akan apa yang dikatakan oleh ustaz Kariman tentang wahyu pertama Allah kepada NabiNya: " Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (al-'Alaq [96] : 1 - 5)

Menurut Ustaz Kariman dalam ceramahnya ayat ini diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw agar menyuruh manusia belajar dan mengkaji dan terus mengkaji, membuat penyelidikan (search and research atau r & d ) dan Allah akan memberi penyelesaian kepada setiap perkara yang dikaji.

Begitu juga benarlah firman Allah yang bermaksud: Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? ” (Fussilat [41] : 53).

Maksudnya pada setiap perubahan zaman Allah akan tunjukkan kepada manusia akan bukti kebenaranNya dan kebesaranNya. Perkembangan teknologi bertambah seiring perubahan zaman. Allah menurunkan penyakit dan ubatnya cuma manusia perlu berusaha mencari kaedah-kaedah yang sesuai dengan penyakitnya. Itulah yang diharapkan supaya setiap daripada kita berusaha mencari ilmu dan membuat research. Saya bersyukur kerana terdapat ramai para ilmuan bertaraf ulul albab walaupun zaman sekarang fitnah berleluasa. Semoga Allah lindungi kita daripada pelbagai fitnah yang merosakkan.. Allahumma Amiin.

Saya selalu terjatuh dan dengan itu saya mengalami sakit betis yang amat sangt. Dalam mencari segala jenis rawatan dan usaha yang banyak telah dibuat akhirnya; saya telah membuat pembedahan slipped pada oktober 2003 tetapi disebabkan kesilapan prosedur pembedahan; rawatan itu gagal. Sakit di pinggang pula. Saya usaha lagi mencari dan pelbagai kaedah rawatan dah dibuat, buat lagi pembedahan kali kedua pada jun 2008, tak juga berhasil. Saya banyak menulis tentang kaedah rawatan saya dalam label sakit semoga sesiapa yang menghadapi sakit yang sama akan ambil iktibar.

Di bawah ini pula maklumat tentang rawatan terbaru di HUSM.
Gejala klinikal sakit cakera diskogenik [sini]
Pesakit akan mengalami sakit tulang belakang kronik, biasanya di tengah pinggang. Sakit belakang secara khususnya bersifat mekanikal; iaitu rasa sakit akan teruja jika pesakit berdiri dan jelas akan berkurangan jika berbaring. Sakit pada pinggang juga akan dirasai menjalar turun ke punggung atau paha.
Namun pastinya tidak akan berlaku sakit renjatan elektrik atau mencucuk (sakit saraf) yang menjalar turun ke kaki seperti biasa dihadapi pesakit cakera tergelincir (slipped discs).




Gambar-gambar ni nak tunjukkan apa itu slipped disc yang menyebabkan pesakit tidak dapat bergerak dengan selesa kerana bila mencucuk saraf pesakit hanya mampu berbaring utk hilangkan sakit

Apakah ada rawatan tanpa pembedahan? [sini]
Ada. Kini rawatan untuk gejala sakit cakera diskogenik dapat dilakukan dengan hanya suntikan. Teknik ini dinamakan rawatan intradiskal radiofrekuensi.
Sejak akhir-akhir ini teknik ini sangat popular dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pesakit. Kaedah ini dilakukan dengan menyuntik sepasang jarum ke dalam cakera yang sakit pada kiri dan kanan dengan bantuan sinar-X.

Arus elektrik radiofrekuensi pula akan disalur kedua-dua jarum berkenaan yang bertujuan meningkatkan suhu panas di tengah cakera.
Suhu panas ini bertujuan melumpuhkan saraf di dalam cakera. Apabila saraf ini rosak, isyarat rasa sakit dari cakera ini dapat dihentikan.
Struktur cakera dan fungsinya pula dapat dikekalkan. Kaedah ini mempunyai komplikasi minimum dan keberkesanannya mencapai 60 hingga 80 peratus. Biasanya prosedur ini hanya memerlukan satu atau dua hari.
Keratan akhbar ambil dp googles

Setelah semua jenis rawatan ditulis dalam blog ini; saya mula pula tumpukan menulis serba sedikit perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri saya kepada Allah. Saya sedar sesekali, Allah menguji kita, jika tidak dengan harta yang banyak, anak-anak yang membuat hal, kakitangan bawahan, bos yang kadang-kadang tak sehaluan, anak-anak murid yang perlukan bimbingan dan tunjuk ajar, suami yang kadang-kadang memerlukan perhatian yang lebih. Saya sakit adalah disebabkan kesilapan sendiri mencari rawatan yang salah. Saya yakin sakit saya ini sama ada ujian buat saya, atau kifarah terhadap dosa saya. Mujurnya dengan pertolongan Allah jua ujian buat saya tidaklah begitu besar. Saya yakin itu, kerana lebih ramai lagi yang lebih menderita daripada saya. Mudah2an Allah ringankan penderitaan mereka semua dan mereka tabah hadapi ujian daripada Allah SWT. Da Allah ampunkan dosa-dosa saya. Allahumma Amiin.
Saya bersyukur diberikan suami, anak-anak yang begitu sabar melayan dan membawa saya ke mana sahaja untuk berubat. Syukur kepadaMu ya Allah. Maha Suci Allah, Segala Puji BagiMu ya Allah, Allah Maha Besar, La hawla wala quwwata illla billah. Ketika ujian diturunkan, dan ketika tidak diberikan ujian saya harus selalu mengucapkan syukur dan memujiMu untuk mengingatkan betapa kasih dan sayangMu kepada saya sehingga seringkali juga saya terlupa. Benarlah hakikat ujian berupa kesakitan, kesusahan serta masalah-masalah yang menggelisahkan hati kita adalah ukuran sebenar tentang kesyukuran, kehambaan, keredhaan kita kepadaNya. Mudah2an saya diberikan pertolongan olehMu ya Allah jadi hambaMu.. saya tahu bukan semua manusia dan jin layak dipanggil hambaMu. Oleh itu tolonglah saya ya Allah. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolonganMu ya Allah! Jadikanlah aku hambaMu yang sentiasa tabah dan bersyukur.
Engkau ya Allah telah hantarkan sahabat-sahabat blogger , juga sahabat yang tidak ada blog, yang sering mendoakan kesihatan dan kekuatan buatku. Apa lagi yang harus kukatakan, Mudah2an buat sahabat-sahabat, buat anak-anak, buat anak-anak didik, anak-anak saudara, cucu-cucu, kumohon agar kamu semua diberi kebaikan yang banyak oleh Allah SWT kerana mendoakan kesembuhan buatku.
"Dan apabila aku sakit Engkaulah yang Menyembuhkan"
Kita hanya akan tersedar sejauh mana keimanan yang tersembunyi dalam jiwa kita apabila kita diuji. Saya terasa seolah-olah sedar daripada bermimpi ketika sedar daripada pembedahan kali pertama pada 2003 dahulu, terasa baru ditimbus ke dalam ruang kubur yang gelap dan sempit dan akhirnya tinggal sedikit cahaya yang tampak daripada luar kubur. Subhanalllah.
Mudah2an rawatan kali kedua pada 9 hb Jun nanti diberi izin oleh Allah untuk saya sembuh sepenuhnya. InsyaAllah. Allahumma Amiin

Jika nak baca tentang rawatan ini sila klik sini, sini mudah2an maklumat ini akan dijadikan rujukan dan memberi harapan kepada sesiapa yang mengalami masalah seperti saya. Kita berusaha Allah menentukan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal” [Al-Taubah 9: 51]
Beginilah lebih kurang tempat rawatan dan cara rawatan ada screen untuk mengetuahui tempat-tempat yang sakit dengan menggunakan x-ray.
Share Ke Facebook Anda :

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...